PBSM Pahang agih khemah bencana seluruh Pahang

PBSM Pahang agih khemah bencana seluruh Pahang

KUANTAN: Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Pahang mengagihkan sebanyak 540 khemah bencana di 27 sekolah di seluruh negeri ini.

Timbalan Pengerusinya, Dato’ Wan Nor Raihan Wan Abdul Rahman, berkata khemah bencana itu diletakkan di bawah seliaan sekolah terbabit bagi tujuan membantu mangsa bencana termasuk banjir.

Selain itu, katanya, pihaknya juga membenarkan khemah itu untuk digunakan pasukan beruniform di sekolah terbabit bagi sebarang aktiviti luar, contohnya perkhemahan.

“Kita hantar khemah bencana ini di tiga sekolah di setiap daerah yang mana setiap satu kita beri sebanyak 20 unit. Maknanya setiap daerah dapat 60 unit.

“Khemah ini boleh digunakan untuk bantu mangsa banjir dan juga kita benarkan pihak sekolah guna untuk aktiviti pasukan beruniform di peringkat sekolah,” katanya kepada Fikrah Pahang.

Dalam pada itu, beliau berkata, PBSM Pahang mempunyai 180 pasukan sukarelawan di seluruh Pahang yang akan digerakkan untuk membantu mangsa banjir jika perlu.

“Setiap daerah kita ada 20 ‘team’ (pasukan) yang bersedia utuk membantu mangsa banjir jika keadaan memerlukan,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN