KUANTAN: Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bukan penghalang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ia dibuktikan oleh dua calon SPM 2021 yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, di sini, Umar Abdul Majid, 18 dan Nur Arisha Amyrul Naim. 18.
Bagi Umar, pelaksanaan PdPR akibat pandemik COVID-19 itu tidak menjejaskan sesi pembelajarannya terutama untuk memperoleh keputusan cemerlang.
“Apa yang perlu dilakukan ialah fokus sepanjang PdPR dan sekiranya tidak faham, terus bertanya dengan guru,” katanya yang memperoleh 9A+ 2A.
Sementara itu, Nur Arisha berkata, walaupun berdepan masalah capaian Internet yang perlahan, ia bukanlah penghalang utama.
“Pada masa sama, saya mendapat kerjasama daripada guru dan rakan yang banyak membantu dalam pelajaran sepanjang PdPR.
“Bagi saya keputusan SPM 8A+ 1A ini amat bermakna dan bersyukur selepas apa yang dilalui sepanjang Covid-19,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN