Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa Ebit Irawan Ibrahim Liew atau Ebit Lew diambil keterangan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual di Ibu Pejabat Bukit Aman, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan- Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, siasatan akan diteruskan sehingga polis berpuas hati untuk merujuk kes itu kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut.
“Oleh itu, PDRM memohon kepada semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes itu dapat disiasat dengan telus.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang penyebaran apa-apa juga bahan yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Laporan Berita Harian Online dipetik sebagai berkata bahawa Ebit Lew, 36, mendakwa kes berkenaan adalah satu fitnah yang sangat kejam dan melampau.
“Pihak polis mengambil masa lebih satu jam untuk merakam kenyataan saya. Saya memberikan kerjasama sepenuhnya,” kata Ebit Liew.