Pecah kaca pecah gelas, lepas baca harap Tuanku balas

Pecah kaca pecah gelas, lepas baca harap Tuanku balas

TEMERLOH: “Sepanjang dua hari ini, saya lihat masing-masing amat teruja menyiapkan kad raya untuk disampaikan kepada Pemangku Raja Pahang,” kata Siti Sabariah Mohd Hassan, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tawar, Kuala Krau di sini.

Menurutnya, seramai 30 murid tahun satu hingga enam di sekolah berkenaan juga tidak sabar untuk bertemu KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan AbdullaRi’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli berangkat untuk memasyhurkan Masjid Othman Bin Affan di Kampung Batu Sawar di sini.

“Masing-masing tak putus memuji dan meluahkan keinginan mereka bertemu baginda Tuanku sambil menyiapkan kad raya bersaiz A2 (420 x 594 mm) untuk diserahkan hari ini,” kata Siti Sabariah kepada Fikrah Pahang selepas selesai majlis perasmian masjid berkenaan dan sesi penyerahan kad raya oleh 30 murid terbabit kepada Tengku Hassanal Ibrahim, malam tadi.

Sementara itu, dalam titah perasmiannya, Tengku Hassanal Ibrahim meminta pihak jawatan kuasa pengurusan masjid supaya tidak terlalu garang dan bertegas dengan kanak-kanak yang datang ke rumah Allah itu.

“Tegurlah dengan sopan dan penuh hikmah, insya-Allah, sedikit demi sedikit mereka (kanak-kanak) akan meningkat dewasa dan hati mereka terikat dengan masjid,” titahnya.

Berangkat sama pada majlis itu, YAM Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin.

Pada majlis sama, Tengku Hassanal Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan zakat kepada 180 penduduk di DUN Kerdau selain menyampaikan kurniaan 10 komputer riba kepada anak-anak golongan asnaf.

Masjid Othman Bin Affan mula dibina pada 10 November 2008 dan selesai pada 22 Ogos 2009 dengan kos RM450,000.

Masjid berkenaan yang berkeluasan 0.5 ekar (0.2 hektar) boleh menampung jemaah seramai 300 orang pada satu-satu masa. – HELMY ABD RAHMAN