Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustaffa Kamal
RTP Online
Headlines: Peguam jadi juara Pertandingan Pidato Online Penerangan UMNO Negeri Pahang 2021
Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustaffa Kamal
KUANTAN: “Kalau boleh saya tak nak masuk (bertanding), tapi dah tak ada orang lain, saya disuruh rakan-rakan dalam Pergerakan Pemuda UMNO IM (Indera Mahkota) untuk ke depan,” kata Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman, johan Pertandingan Pidato Online Penerangan UMNO Negeri Pahang anjuran Penerangan UMNO Pahang.
Muhammad Amirull Afiqq menewaskan 26 peserta lain yang mewakili seluruh bahagian UMNO di negeri ini.
Ditanya rahsia dan persediaan menyertai pertandingan itu, beliau berkata kerjaya sebagai peguam banyak membantunya untuk memberikan yang terbaik dalam pertandingan itu.
“Lagipun saya ada masa yang cukup untuk buat persediaan. Saya membawakan tajuk ‘kepimpinan dan kestabilan kerajaan negeri untuk kemajuan rakyat’.
“Bagaimanapun pertandingan ini agak mencabar kerana masa diperuntukkan adalah 20 minit dan ini sangat lama dan perlukan penyediaan bahan yang banyak,” katanya yang kini berusia 30 tahun.
Muhammad Amirull Afiqq membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, beliau dan jawatankuasa penganjur lain amat berpuas hati dengan pencapaian ditunjukkan peserta yang rata-ratanya berkebolehan berpidato.
“Beza antara peserta tidak jauh, cuma ada beberapa orang yang tidak biasa dan agak gugup dalam penyampaian pidato.
“Peserta juga ramai daripada kalangan profesional, ada doktor, pensyarah dan peguam. Apa yang penting, mereka ini mampu menyampaikan mesej dengan baik dan mempunyai modal pengetahuan dan ada potensi jadi pemimpin,” katanya.