TEMERLOH: Banyak bukti bahawa longgokan kayu hanyut di Sungai Telemong di Bentong, bukan disebabkan aktiviti pembalakan.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata beliau kesal apabila terdapat segelintir pihak terus menjaja cerita kononnya banjir besar yang berlaku di Bentong baru-baru ini disebabkan penebangan hutan walaupun siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sudah mendedahkan aktiviti itu tidak berlaku.
Malah, katanya, seandainya kejadian banjir besar disebabkan aktiviti pembalakan di negeri ini, musibah berkenaan tidak mungkin terjadi pada zaman sebelum dan awal merdeka dahulu.
“Bah tahun 1926 kelmarin (dahulu), masa itu penduduk Tanah Melayu kebanyakannya ‘chainsaw’ (gergaji berantai) pun tak kenal lagi, gergaji pun tak ramai yang memilikinya manakala tahun 1950-an dan 60-an, tak banyak orang tahu menebang balak dan tokey balak juga tak ramai.
“Lagipun, takkanlah orang menebang batang sawit, batang durian dan getah… sampaikan ke akarnya terpongkah (tercabut) sekali,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Pahang berkata demikian bagi membidas kenyataan dibuat Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Datuk Dr Shariffa Sabrina Syed Akil yang menyifatkan antara punca banjir disebabkan berlakunya aktiviti penebangan hutan.
Menerusi laporan Sinar Harian 23 Disember lalu, Shariffa Sabrina dipetik berkata tidak perlu mempelajari ilmu ‘roket sains’ untuk mencari punca banjir yang melanda di beberapa negeri termasuk Selangor sebaliknya punca boleh diketahui dengan menggunakan akal.
Semalam, JPNP mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada secara sah atau haram di dalam Hutan Simpan Lentang, Bentong sekali gus menepis khabar angin yang tular di media sosial oleh orang awam pada Khamis lalu.
Pengarah JPNP Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata ia hasil dapatan diperoleh melalui semakan yang dibuat melalui udara menggunakan dron di jalan Bentong, Karak berhampiran stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jambatan Sri Telemong, Bentong.
Katanya, kejadian itu sebaliknya berpunca daripada kepala air di kedua lokasi terbabit yang bermula di Hutan Simpan Lentang susulan hujan lebat berterusan selama tiga hari bermula 16 Disember lalu.
“Betul sangat tak payah pakai ilmu roket sains (sinis). Gambar kayu hanyut itulah juga dijaja ke hulu dan ke hilir walhal tiada langsung kesan kena tebang,” kata Syed Ibrahim.
Tambahnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Peka tidak seharusnya melaga-lagakan orang ramai termasuk mangsa banjir dengan kerajaan kerana ia boleh memburukkan keadaan.
“Tambah pula orang tengah kelam-kabut disebabkan banjir. Kita fokus dulu menolong orang ramai, lepas itu kita betulkan kelemahan (perkara yang menyebabkan berlaku banjir)… mungkin perparitan, mendalamkan sungai, meninggikan jalan dan memikirkan cara mengatasi kejadian kepala air.
“Bukan macam Peka yang hanya pandai bercakap, tapi tidakpun menolong. Orang ramai dihasut, kerajaan dikecam. Kalau asyik bertelingkah, bila nak selesai,” tegasnya. – HELMY ABD RAHMAN