KUANTAN: Pekerja am ladang kelapa sawit di Mentakab, Temerloh, patah pergelangan kaki kiri selepas dipijak gajah liar di tempatnya bertugas, pada kira-kira 8 pagi, 5 Julai lalu.
Lelaki 55 tahun itu turut cedera pada badan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin, berkata siasatan mendapati ladang tempat lelaki terbabit bekerja terletak bersempadan dengan Hutan Simpan Kemasul.
“Dipercayai terdapat sekurang-kurangnya tujuh gajah bergerak dalam satu kumpulan yang menyerang lelaki terbabit.
“Kita masih tidak dapat memastikan situasi sebenar dan punca kejadian kerana masih tidak dapat bertemu dengan mangsa yang sedang menerima rawatan di HoSHAS,” katanya.