BERA: Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mahu memastikan golongan belia mendapat pekerjaan dan berdikari untuk meningkatkan taraf hidup melalui program atau inisiatif berkenaan.
Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sentiasa memastikan kebajikan pekerja dan majikan termasuk mereka yang terbabit dalam ekonomi baharu seperti ‘gig’ yang kini menjadi alternatif bagi menjana pendapatan.
“Program kemahiran semula dan penjanaan pendapatan juga diperkenalkan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan apabila syarikat yang menjadi tempat mereka bekerja terpaksa mengurangkan operasi atau ditutup.
“Menerusi Sistem Insurans Pekerjaan ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seramai 188,526 individu menerima manfaat faedah kewangan kira-kira RM1 bilion,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Perkeso, Dato’ Sri Subahan Kamal.
Ismai Sabri berkata, sekurang-kurangnya 65,774 permohonan kerja diterima membabitkan 8,513 majikan sehingga 28 Oktober lalu. – HUSIN IBRAHIM