Pelabur lebih yakin melabur di negeri ditadbir BN, kata Tok Mat Hasan

Pelabur lebih yakin melabur di negeri ditadbir BN, kata Tok Mat Hasan

KUANTAN: Pelabur asing lebih yakin melabur di negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), atas faktor kestabilan politik dibawa gabungan itu.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata contoh terbaik dapat dilihat apabila BN kembali mentadbir Johor yang mana membolehkan negeri itu menarik nilai pelaburan tertinggi di negara ini, berbanding di tempat kelima sebelum ini.

“Selain itu, pelabur juga yakin untuk melabur di Pahang yang mencatatkan jumlah pelaburan ketiga tertinggi, begitu juga Melaka yang naik ke tangga kelima pelaburan tertinggi di Malaysia.

“Pencapaian ini didorong oleh kestabilan politik yang dibawa negeri-negeri yang diperintah BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Perjumpaan Timbalan Pengerusi BN bersama Komponen BN Pahang di Dewan Dato’ Sri Manan Ismail di sini, semalam.

Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepemimpinan BN pusat serta negeri.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pendirian BN untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah muktamad. 

“Walaupun ada parti yang masih cuba ‘mengesel-geselkan’ badan, UMNO sudah membuat keputusan berhubung perkara itu,” katanya tanpa menamakan parti berkenaan. 

Ketika ditanya jika parti digambarkan itu adalah PAS, Mohamad meminta media meneka sendiri. 

“You (kamu) tulislah apa yang you nak.. you tekalah. Saya dah kata tadi, parti telah buat dasar.. keputusan, peganglah itu.

“Walaupun orang mengesel-gesel badan ke apa, kita akan pergi berseorangan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN