Pelaburan RM5 bilion ASSB di negeri ini bakal sedia 3,000 peluang kerja

Pelaburan RM5 bilion ASSB di negeri ini bakal sedia 3,000 peluang kerja

KUANTAN: Kerajaan Pahang dan Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB), hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi projek fasa kedua pembesaran kilang dengan nilai pelaburan sebanyak RM5 bilion.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata projek pembesaran kilang itu membabitkan kawasan seluas 101.2 hektar dan menyediakan 3,000 peluang pekerjaan.

“Projek fasa kedua pembesaran kilang ASSB yang berteknologi tinggi dan serba moden ini akan turut dilengkapi gudang bahan mentah.

“Projek ini bakal menyediakan 3,000 peluang pekerjaan dengan 80 peratus daripadanya adalah untuk rakyat tempatan,” katanya, hari ini.

ASSB adalah pelabur pertama di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan kilang keluli pertama di Asia Tenggara yang mengadaptasi teknologi proses lengkap dalam pembuatan serta pengeluaran besi dan keluli.

Melalui projek fasa kedua ini, kapasiti pengeluaran produk besi dan keluli yang menjadi antara produk perdagangan eksport utama negeri ini, dapat ditingkatkan daripada 3.5 juta tan kepada 10 juta tan setahun dengan penambahan produk plat keluli.

Pada 18 Februari lalu, Kerajaan Pahang memeterai perjanjian akhir pelaburan luar negara bernilai RM5.5 bilion dengan enam syarikat pelaburan dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan.

Bagi tahun lalu pula, Pahang berjaya menarik pelaburan bernilai RM 10.5 bilion yang membabitkan RM987 juta daripada pelaburan domestik dan RM9.8 bilion lagi pelaburan antarabangsa,

“Kerajaan Pahang juga terus komited menyediakan persekitaran kondusif dan kestabilan politik meyakinkan bagi menarik minat pelabur untuk terus mengembangkan pelaburan di negeri ini. 

“Pada masa sama, Kerajaan Pahang sentiasa berusaha sehabis baik bagi memastikan negeri ini dapat dibangunkan dan dimajukan secara menyeluruh serta seimbang demi kesejahteraan dan manfaat rakyat.

“Dalam hal ini, Kerajaan Pahang komited untuk mencapai KPI (petunjuk restasi utama) pelaburan Pahang yang ditetapkan tahun ini berjumlah RM18 bilion. Insya-Allah,” jelas Wan Rosdy. – HELMY ABD RAHMAN