Pelajar cemerlang Ally Shafika dan Iskandar kini intai menara gading

Pelajar cemerlang Ally Shafika dan Iskandar kini intai menara gading

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

pic Zulkepli Osman

KUANTAN: Walaupun hampir separuh daripada sesi persekolahan tahun lalu diadakan dalam talian, namun ia tidak menghalang untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Ia dibuktikan oleh pencapaian cemerlang dua pelajar Orang Asli, Ally Shafika Abdul Rahman dan Iskandar Othman, masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran dan SMK Pekan.

Bagi Ally Shafika, yang akan sambung belajar di Kolej Matrikulasi, Gambang, beliau gembira apabila muncul pelajar terbaik yang mendapat keputusan cemerlang di sekolahnya dengan meraih 8A 1B.

Katanya, keputusan 8A yang diraih ialah subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Moral, Fizik, Kimia dan Biologi manakala Matematik Tambahan pula 1B.

“Walaupun terpaksa menyesuaikan diri dengan belajar secara dalam talian, saya bersyukur kerana dapat membanggakan ibu bapa, guru dan rakan.

“Saya juga berterima kasih kepada guru yang banyak membantu untuk memastikan saya faham dan fokus sepanjang sesi pembelajaran,” kata Ally Shafika, Orang Asli dari suku Semoq Beri dari Kampung Orang Asli Batu 55, Maran.

Sementara itu, Iskandar Othman dari suku Jakun yang mendapat keputusan 7A 2B berpuas hati dengan pencapaian itu dan meneruskan pelajaran di tingkatan 6.

“Terima kasih di atas sokongan dan kata-kata semangat yang diberikan ibu bapa, guru dan rakan,” kata Iskandar dari suku Jakun.

Keputusan 7A yang diraih Iskandar ialah menerusi Bahasa Melayu, Pendidikan Moral, Sejarah, Perniagaan, Geografi, Sains, Matematik manakala 1B pula, masing-masing Bahasa Inggeris dan Sains Komputer

Iskandar dari Kampung Permatang Keledang, Pekan berkata, kejayaan itu juga diharap menjadi inspirasi kepada semua pelajar SPM 2021 yang akan menduduki peperiksaan iitu nanti.