Pelajar faham pentingnya vaksin Covid-19

Pelajar faham pentingnya vaksin Covid-19

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

PEKAN: Seratus tiga puluh lapan pelajar Orang Asli daerah ini mula menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 (PICK) Remaja di sepuluh Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sejak kelmarin.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar, berkata mereka terdiri pelajar lapan sekolah dengan 60 daripada jumlah itu adalah daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai.

Menurutnya, 4,171 pelajar tingkatan empat, lima dan enam di 16 sekolah menengah termasuk tiga sekolah agama negeri dan satu Maktab Rendah Sains Mara sudah disenaraikan untuk vaksinasi.

“Saya dapati sambutan yang diterima amat menggalakkan. Mereka hadir ke PPV bersama ibu bapa masing-masing,” katanya. 

Azrol Zaidi Lau Ching Kim @ Akim, 17, dia berasa bertuah apabila berpeluang menerima vaksin Covid-19 yang akan memberi peluang kepadanya untuk ke sekolah.

“Keluarga saya semuanya sudah menerima vaksin bersama penduduk Kampung Permatang Pauh. Saya faham bahawa peluang sakit teruk jika dijangkiti Covid-19 akan lebih rendah jika kita sudah divaksin,” katanya.