Pelajar istimewa diasuh kemahiran tanam cendawan

Pelajar istimewa diasuh kemahiran tanam cendawan

KUANTAN: Kira-kira 50 pelajar istimewa (autisme) menyertai program latihan vokasional dengan aktiviti menanam cendawan tiram kelabu.

Penyelaras Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Kuantan, Liney Diana Ramli, 38, berkata projek tanaman cendawan bermula dua tahun lalu membabitkan dua rumah penyimpanan.

Menurutnya, kini terdapat lebih empat ribu bongkah tanaman itu yang mengeluarkan hasil di antara 10 dan 20 kilogram sehari.

“Aktiviti memungut, membungkus dan menimbang dilakukan oleh pelajar dengan dibantu guru. Pelanggan pula terdiri daripada keluarga pelajar dan masyarakat setempat.

“Menerusi projek tanaman cendawan tiram kelabu ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar untuk berdikari serta memenuhi masa terluang selain belajar di kelas,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, cendawan tiram kelabu yang dihasilkan mendapat permintaan menggalakan daripada  pelanggan tetap. – MOHD IMRAN IZZAD