KUANTAN: Sekurang-kurangnya 107 pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Kuantan berpeluang mengikuti simulasi pilihan raya di Dewan Ibnu Al Awwam, di sini, hari ini.
Mereka terdiri daripada pelajar istimewa yang kali pertama berpeluang untuk mengundi pada usia 18 tahun Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan datang.
Pengetua SMPK Vokasional Kuantan, Najib Muhamad, berkata mereka yang layak mengundi terdiri daripada 13 pelajar masalah pendengaran dan 94 pelajar masalah pembelajaran.
Menurutnya, pihak sekolah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pegawai Jabatan Penerangan Kuantan dan Pahang dibantu guru bagi menjayakan simulasi yang mengikut peraturan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, semua pelajar diberi peluang membuang undi bermula daripada semakan, menanda jari dengan pewarna, menanda kertas undi dan membuang undi dalam kotak disediakan.
“Simulasi yang diadakan bertujuan memberi pendedahan dan tunjuk ajar kepada pelajar istimewa cara mengundi yang sebenar serta peraturan yang perlu dipatuhi.
“Bagi pelajar masalah pendengaran, mereka perlu sentiasa mendapat bimbingan guru sambil menggunakan bahasa isyarat sepanjang perjalanan simulasi diadakan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD