KUANTAN: Enam pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, menerima insentif sumbangan Kerajaan Pahang.
Pelajar cemerlang berkenaan ialah Nurul Alieya Syuhada Idrus dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Bentong yang mendapat 11A; Jeremy Josuazent Ko, pelajar SMK Rompin Permai (9A); Lin Lin Low Yoke Thong pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah (9A).
Turut terpilih, pelajar MRSM Muadzam Shah, Hoo Siew Kuan Hoo Lew Aun (8A); Asriana Nadira Azlan, pelajar SMK Kuala Lanar, Lipis (8A) dan Ng Soek Yen Ng Mooi Yong dari SMK Tengku Abdullah Pekan (8A).
Majlis penyampaian insentif berkenaan disempurnakan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Bilik Kunjung Hormat, Pejabat Menteri Besar Pahang, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi.
Pada majlis sama, Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa pelajar terbabit.
Sementara itu, Johari berkata, pemberian insentif berkenaan antara bukti kecaknaan Menteri Besar terhadap masyarakat Orang Asli di Pahang.
“Saya harap insentif yang diberikan kerajaan negeri ini dapat meningkatkan semangat dan kesungguhan pelajar Orang Asli di Pahang untuk berusaha memburu kejayaan dalam bidang akademik,” katanya – MOHD IMRAN IZZAD