Pelajar pendidikan khas Pahang mulakan sesi persekolahan hari ini

Pelajar pendidikan khas Pahang mulakan sesi persekolahan hari ini

Oleh Mustaffa Kamal

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Seramai 40 daripada 53 pelajar pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar hadir untuk memulakan sesi persekolahan bersemuka, hari ini.

Ini berikutan Pahang kini beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 24 September lalu.

Pengetua sekolah berkenaan, Mohd Azeli Fauzi, berkata tidak semua pelajar terbabit dapat hadir atas sebab kesihatan dan menjalani tempoh kuarantin.

“Kita dah pesan kepada pelajar supaya jangan hadir jika ada masalah kesihatan dan ada juga yang tidak dapat datang sebab sedang dikuarantin.

“Bagaimanapun secara keseluruhan, pihak sekolah berpuas hati dengan kedatangan pelajar hari ini,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.

Menurutnya, pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah itu dijadualkan kembali ke sekolah 11 Oktober ini.

“Kita tiada pelajar mengambil STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) dan pelajar Tingkatan 5 yang akan ambil SPM bakal masuk 11 haribulan ini,” katanya.

Turut melawat ke sekolah berkenaan hari ini ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Ya’akob Zaidin yang sempat mengagihkan pelitup muka kepada sebahagian pelajar.