KUANTAN: “Lepas tengok cerita Mat Kilau ini, timbul semacam semangat untuk melindungi negara jika diserang musuh,” kata Wan Abdul Aliff Rakiman, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau di sini.
Dia antara 3,000 pelajar dari seluruh daerah ini yang terpilih menonton tayangan amal filem Mat Kilau di pawagam GSC di East Coast Mall, hari ini.
Menurutnya, filem berkenaan boleh disifatkan amat berjaya untuk memupuk semangat cintakan bangsa.
“Gembira lihat aksi persilatan yang ditampilkan dan bagi saya filem ini menaikkan semangat dan saya berasa lebih patriotik selepas menontonnya,” katanya.
Bagi Syaza Amani Mohd Azam, 15, juga dari SMK Mat Kilau, selain mempunyai mesej murni filem berkenaan amat menghiburkan.
“Tidak seperti cerita Melayu lain yang hanya berkisarkan mengenai cinta, filem ini menampilkan aksi pertarungan bertaraf antarabangsa dan sarat dengan mesej berguna,” katanya.
Program Tayangan Amal Patriotik Filem Mat Kilau ditaja sepenuhnya oleh YAMÂ Tengku Muda, Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. – FIKRAH PAHANG