Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Bukan sahaja pelamin yang diangankan tidak kesampaian, malah seorang wanita berusia 45 tahun terpaksa pula menanggung kerugian RM60,000 selepas ditipu ‘love scam’.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak dari Kampung Peramu, di sini, berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa tinggal di luar negara pada Jun lalu.
“Sepanjang berkenalan, lelaki berkenaan melayan mangsa dengan baik sehingga berjanji mahu berkahwin dengannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sin, hari ini.
Katanya, suspek meminta tolong mangsa untuk meminjam wang kerana menghadapi masalah kad bank dan berjanji akan membayarnya semula
“Malah dalam sepanjang tempoh Jun hingga kini, mangsa telah membuat 30 transaksi ke empat akaun berbeza berjumlah kira-kira RM60,000 namun sehingga kini belum menerima wangnya semula.
“Mangsa juga sering diperdaya dengan resit palsu malah kini mangsa yang sudah kehabisan wang berasa tertipu dengan lelaki berkenaan dan tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.