Pelancong serbu tengok gajah

Pelancong serbu tengok gajah

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

TEMERLOH: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, di sini menerima kehadiran pelancong yang begitu menggalakan apabila mula dibuka minggu lalu.

Ini terbukti apabila kira-kira tiga ribu pelancong tempatan dan luar Pahang menjadikan PKGK sebagai pusat riadah keluarga pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, berkata pihaknya tidak menyangka kehadiran pelancong begitu ramai pada minggu pertama PKGK Kuala Gandah dibuka kepada pengunjung.

Menurutnya, pihak pengurusan terpaksa menghadkan kemasukan pelancong dalam satu satu masa disebabkan kesesakan.

“Kita hanya membenarkan seramai 150 pelancong berada dalam kawasan PKGK Kuala Gandah dalam satu satu masa.

“Saya berpuas hati dengan kerjasama diberikan pelancong yang datang berkunjung ke PKGK Kuala Gandah,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti yang terdapat di PKGK Kuala Gandah ialah persembahan gajah, melihat gajah mandi, pameran, memberi gajah makan dan kawasan kurungan berpagar gajah.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, pelancong juga berpeluang menonton dokumentari berkaitan operasi menyelamat, menangkap dan memindahkan haiwan luar yang dilakukan PKGK Kuala Gandah seluruh negara.

Katanya, 31 gajah di PKGK dan pengunjung berpeluang melihat haiwan berkenaan dengan pengawasan kakitangannya.