JERANTUT: Seratus lima puluh lapan pelancong tempatan yang terkandas di Taman Negara, Kuala Tahan, dekat sini, sudah dibawa keluar dari kawasan Hulu Tembeling, pada awal petang, hari ini.
Pelancong yang terdiri daripada warga Lembah Klang itu terkandas berikutan jalan utama Kuala Tahan ke Jerantut ditutup untuk semua kenderaan apabila air naik kira-kira 1.3 meter di kawasan Paya Garuk.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, pelancong tempatan yang menginap di 19 chalet dan pusat inap itu mula dibawa keluar dengan kenderaan pacuan roda dari Kuala Tahan ke Kampung Paya Garok, dekat sini, pada 2.40 petang ini.
“Mereka kemudiannya dibawa dengan bot pihak berkuasa menyeberangi laluan yang ditenggelami banjir di Kampung Paya Garok dan kemudian menaiki kenderaan ke bandar Jerantut.
“Polis menasihatkan pelancong yang masih bercuti di Taman Negara supaya pulang lebih awal memandangkan cuaca tidak menentu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, pelancong tempatan itu dibawa keluar selepas berikutan air Sungai Tembeling dan anak sungai mula melimpah dan keadaan mungkin bertambah buruk jika hujan masih tidak berhenti di hulu sungai.
Mazlan berkata, polis berharap pelancong yang merancang percutian ke Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling menangguhkan dahulu rancangan mereka sehingga selesai musim tengkujuh. – MUHAMMAD NAJMIE