Pelancongan padi mampu jana ekonomi masyarakat Orang Asli

Pelancongan padi mampu jana ekonomi masyarakat Orang Asli

JERANTUT: Masyarat Orang Asli di daerah ini boleh menjadikan  tanaman padi bukit yang mereka usahakan sebagai produk tarikan pelancong selain sumber ekonomi. 

Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris berkata, masyarakat Orang Asli yang pakar dengan tanaman itu boleh menyediakan pakej pelancongan padi yang merangkumi proses menanam, menuai, menumbuk,  mengemping menggunakan lesong indik danmakan nasi padi bukit. 

Katanya, langkah berkenaan akan menjadi pengalaman baru kepada mereka dan keunikan itu mampu menjadikan Pahang satu daripada destinasi pelancongan unik serta menarik.

“Jika Kedah, Perlis dan Kelantan menjadikan padi sawah sebagai tarikan, padi bukit juga  mampu menarik perhatian pelancong seperti padi bukit Bario di Sarawak yang sudah terkenal. 

“Penanaman padi bukit sudah tidak banyak diamalkan dan ia perlu diteruskan bagi mengekalkan budaya dan tradisi turun temurun khususnya di kalangan masyarakat pribumi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Pesta Mengemping Padi Bukit di Kampung Orang Asli Sungai Rengat di sini, hari ini.

Ahmad Nazlan berkata, pihaknya akan berusaha memperluaskan tradisi serupa di perkampungan Orang Asli lain bagi mengekalkan budaya dan tradisi turun-temurun masyarakat itu. 

Tambahnya, di Jerantut, perkampungan Orang  Asli yang masih mengekalkan tanaman padi bukit ialah di Sungai Rengat dan Sungai Kiol. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKOA), Kampung Sungai Rengat, Muhammad Farok Fauzi, 45, berkata masyarakat kampung berkenaan bercadang meluaskan tanaman padi bukit mereka secara lebih tersusun di tanah seluas empat hektar di kawasan perkampungan mereka.

Ketika ini, katanya, penduduk mengusahakan tanaman padi bukit di tanah seluas 1.3 hektar yang mampu mengeluarkan hasil antara 100 kilogram (kg) hingga 150kg pada setiap musim.

“Kita bercadang menanam padi bukit  secara lebih meluas dan tersusun di tanah seluas kira-kira empat hektar kerana terdapat kawasan kosong yang boleh dimajukan di kampung ini.

“Untuk itu, masyarakat kampung ini akan meminta kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Pahang untuk memberi penerangan cara tanaman lebih tersusun dan pembajaan betul kerana ketika ini penanaman dilakukan penduduk sekadar untuk kegunaan sendiri sahaja,” katanya.

Menurutnya, benih padi bukit Sungai Rengat diwarisi sejak turun-temurun dan mempunyai rasa  sangat sedap, lembut dan berbau wangi.

“Menerusi kaedah penanaman bersistematik dan pembajaan yang betul, dapat meningkatkan hasil padi sekali gusĀ  menjana pendapatan serta menjimatkan perbelanjaan dapur penduduk di sini,” katanya. – MUHAMMAD NAJMI