Pelantikan Ismail Sabri sebagai PM bukti kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong – Syed Ibrahim

Pelantikan Ismail Sabri sebagai PM bukti kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong – Syed Ibrahim

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

TEMERLOH: Pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9, membuktikan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memenuhi hasrat, dan citarasa rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. 

Syed Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau berkata, hakikat ini juga menunjukkan kepentingan institusi diraja yang menjadi teras kepada sistem pemerintah dan pentadbiran kerajaan di negara ini .

“Ini sekali gus menjadikan (dakyah) golongan tidak bersetuju dengan kewujudan institusi diraja ini tersangkal dengan sendiri.

“Nampak sekali dengan jelas peranan institusi diraja itu begitu berkesan dan memberi pengaruh besar kepada negara dan ini dipandang dunia, bukan setakat orang kampung sahaja.

“Berkali-kali dan bertalu-talu isu yang berat dapat ditangani institusi diraja, khususnya KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang ketika diminta mengulas mengenai perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9.

Menurut Syed Ibrahim lagi, persepakatan yang diambil beberapa parti terutama yang bertunjangkan Melayu Islam dalam hal ini memudahkan perjalanan memilih Perdana Menteri yang baharu.

“Inilah masanya semua individu daripada parti politik nak membuktikan mereka nak mendahulukan masyarakat, bukan haya slogan… tanpa terma dan syarat.

“Saya harap Dato’ Sri Ismail Sabri mampu untuk konsisten, istiqamah untuk menjalankan tanggungjawabnya… kita tahu susah untuk menggalas jawatan ini, jadi kita mendoakan beliau diberi fikiran jelas untuk menyelesaikan pelbagai masalah negara yang ada.

“Saya juga mengucapkan setinggi tahniah dan rasa gembira kami kepada beliau,” kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang itu.