Pelari 23 negara berentap di Cameron Highlands

Pelari 23 negara berentap di Cameron Highlands

LEBIH 2,000 peserta terdiri daripada pelari dari 23 negara, bersaing dalam Cameron Ultra® 2022 (CULTRA 2022) anjuran BOLT Events Management, di Cameron Highlands, semalam.

Empat kategori dipertandingkan tahun ini iaitu 100 kilometer (km), 55km, 30km dan 15km dengan cabaran untuk peserta menempuhi laluan berbukit, merentasi kebun teh dan denai hutan.

Pengarah program, Hazemi Hamidi, berkata perlumbaan edisi kelima tahun ini, menyaksikan peningkatan jumlah peserta antarabangsa dan tempatan. 

“CULTRA 2022 adalah acara dinanti-nantikan peserta terutama selepas terpaksa ‘berehat’ dua tahun akibat COVID-19,” katanya.

Pelepasan peserta dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin jam 5 pagi semalam. 

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, Cameron Highlands menawarkan laluan acara menarik yang pasti memberikan pengalaman istimewa yang sukar dilupakan peserta.

Tambahnya, aacara sukan berkonsepkan pelancongan seperti CULTRA 2022 juga memberikan kesan positif terutama untuk merancakkan ekonomi setempat.

“Kiraan mudahnya, seorang peserta pastinya datang ke sini bersama keluarga atau kawan dan sepanjang meredah bukit bukau dalam larian ini, ahli keluarga mereka akan melawat kawasan pelancongan di sini dan akan berbelanja.

“Mereka mungkin menambahkan bilangan hari untuk menginap yang merupakan nilai tambah kepada ekonomi setempat,” katanya. – HUSIN IBRAHIM