KUALA KRAU: Perpecahan di kalangan berlaku kerana masyarakat mudah menerima hasutan, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Katanya, perkara yang kecil yang menjadi punca perselisihan dibesar-besarkan sehingga berlakulah perpecahan dalam masyarakat sama ada dalam politik mahupun dalam pentadbiran dan di kalangan keluarga.
“Kesemua unsur perpecahan berlaku itu adalah berpunca daripada kegagalan kita menurut ajaran Nabi Muhammad SAW,” katanya dalam ucapan perasmian program Karnival Asyura Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 Hijrah/2022 Masihi, di Masjid Kampung Teluk Sentang, Temerloh, semalam.
Sekurang-kurangnya 168 peserta daripada 24 pasukan menyertai program itu yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori kerajaan dan bukan kerajaan.
Pasukan Masjid AsSyakirin, Maran, muncul johan manakala Kampong Temin, Jerantut, mempertahankan kejuaraannya sebagai johan dalam kategori bukan kerajaan.
Masjid Abu Bakar, Temerloh, pula muncul naib johan manakala Masjid Abu Bakar, Mentakab, di tempat ketiga, bagi kategori kerajaan.
Syed Ibrahim yang menyampaikan hadiah kepada pemenang berkata, walaupun program itu hanya sebagai pengisian sambutan tahun Hijrah 1444, majlis itu besar maknanya iaitu untuk mengeratkan ikatan ukhuwah di kalangan masyarakat. – HUSIN IBRAHIM
Ends.