KUANTAN: Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis TNB) cawangan Kuantan menyediakan tujuh ratus juadah berbuka puasa kepada golongan asnaf dan gelandangan di Jalan Wong Ah Jang, di sini.
Pengerusinya, Rozianis Mohd Noor berkata, program tanggungjawab sosial korporat itu bukti keperihatinan pihaknya terhadap golongan yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, program tahunan itu adalah kerjasama di antara Pelitawanis TNB, Dapur Infaq Ummah, TNB Pahang dan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI).
“Saya bersama ahli Pelitawanis turut sama berpeluang menyediakan nasi bersama lauk ayam kurma seterusnya mengagihkan kepada gelandangan di Jalan Wong Ah Jang.
“Kami ingin merasai sendiri cabaran menyediakan makanan dalam jumlah yang banyak seperti yang dilakukan sukarelawan Dapur Infaq Ummah,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD