Peluang kerja di projek Industri Pertahanan Lipis

Peluang kerja di projek Industri Pertahanan Lipis

LIPIS: Bandar Lipis bakal menerima pelaburan kira-kira RM1 bilion menerusi pembinaan Bandar Pertahanan Lipis. 

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, suntikan pelaburan syarikat tempatan itu bakal menyediakan lebih seribu peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

“Kerajaan Pahang menerusi YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bersetuju untuk pelaksanaan pembangunan Bandar Pertahanan menerusi Perjanjian Projek Kilang Industri Pertahanan di antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang dan Ketech Asia Sdn Bhd (Fasa 1) di Kechau Tui, membabitkan kawasan seluas 40.5 hektar.

“Projek Kilang Industri Pertahanan ini adalah satu-satunya usaha menyediakan peluang pekerjaan baharu serta menjadikan sektor pertahanan sebagai salah satu sumber baru pendapatan negara tanpa kebergantungan kepada negara luar.

“Kilang ini memerlukan lebih seribu tenaga kerja apabila siap sepenuhnya,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Kilang Industri Pertahanan (Kilang Peluru Ketech Asia Sdn Bhd) di Dewan Orang Ramai Kechau Tui, Padang Tengku, di sini, 17 Oktober lalu.  

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, projek itu dapat merangsang ekonomi domestik, meningkatkan pendapatan negara dan mengurangkan aliran wang keluar. – AIN HUDA AMIR