KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sedang mengumpul usahawan yang berminat untuk mengikuti program pemasaran rentas negeri.
Program baharu diperkenalkan itu memberi peluang kepada usahawan tempatan menjual produk mereka di pasar tani di seluruh semenanjung.
Pengarah Fama Pahang, Saiful Sadri berkata, program itu khusus untuk memasarkan produk agro makanan terutama membabitkan makanan ringan seperti kerepek, keropok, kuih kering, jagung dan buah-buahan tempatan.
“Saya yakin menerusi program pemasaran rentas negeri akan memberi pendapatan tambahan golongan usahawan di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi lawaran Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan.
Saiful berkata, Fama Pahang sudahpun menerima penyertaan usahawan Melaka yang berniaga makanan ringan di pasar tani UTC Kuantan.
Sementara itu, Abd Rahim berkata, program pemasaran rentas negeri diharap dapat memperkenalkan pelbagai produk agro makanan Pahang kepada negeri lain.
“Saya harap Fama Pahang dapat bantu usahawan Pahang menambah pendapatan apabila diberi peluang berniaga di pasar tani negeri lain,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD