KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang menggalakan penternak ikan air tawar di negeri ini menceburi aktiviti penghasilan produk hiliran iaitu makanan sejuk beku berasaskan ikan.
Pengarahnya, Abdullah Jaafar, berkata bagi tujuan itu, seramai 20 penternak ikan air tawar dihantar bagi menjalani kursus pemprosesan produk dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Katanya, projek itu bertujuan untuk mempromosikan ikan air tawar dan meningkatkan hasil jualan penternak akuakultur.
“Antara spesies ikan yang sesuai diproses untuk dijadikan produk terbabit ialah patin, tilapia dan keli.
“Kita bekerjasama dengan MARDI untuk hasilkan produk nilai tambah contohnya nuget patin, burger patin dan beberapa produk berasaskan ikan air tawar.
“Kumpulan pertama sudah menjalani kursus terbabit pada November tahun lalu. Namun sebelum mengeluarkan produk, mereka perlu usahakan dulu ternakan ikan dan kita beri keutamaan produk makanan daripada ikan patin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Perikanan Jom Makan Ikan Air Tawar dan Kempen Larangan Pelepasan Spesies Ikan Asing ke Perairan Umum Peringkat Negeri Pahang di Mana-Mana Cafe di sini, kelmarin.
Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Dato’ Sri Mohd Soffi Abd Razak. – MOHD IMRAN IZZAD