Pemandu lori dan kelindan maut lori jatuh gaung

Pemandu lori dan kelindan maut lori jatuh gaung

Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar ihsan PDRM

BENTONG: Seorang pemandu lori berusia 56 tahun bersama kelindannya berusia 25 tahun maut selepas lori muatan baja dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Kilometer 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak, dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis daerah, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lori berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Sabak Bernam, Selangor menghala ke Raub.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam gaung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa tersepit dibawah lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil untuk membantu sisatan.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya memandu secara berhati-hati dan berhemah selain memastikan kenderaan sentiasa diselenggara dengan baik,” katanya.