Pemandu mabuk dituduh menyebabkan kematian penunggang motosikal

Pemandu mabuk dituduh menyebabkan kematian penunggang motosikal

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Muhammad Izz Zahin

KUANTAN: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian seorang pekerja  kilang di Jalan Sungai Lembing, di sini, Isnin lalu.

Tertuduh, K Mandave Singh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Izzati Zakaria.

Dia didakwa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza berada di atas jalan raya dengan kadar alkohol di dalam darah melebihi had ditetapkan.

Tertuduh yang beralamat di Bandar Tambun, Ipoh, Perak, didakwa melakukan perkara itu di Jalan Sungai Lembing, berhampiran kedai pemborong runcit Chop Seng Fong, di sini, jam 1.10 pagi pada 1 Mac lalu, yang menyebabkan kematian Muhammad Akmal Hakim Misnan, 22. 

Mandave Singh, 25, didakwa mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan. 

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin bersama syarat tambahan, antaranya perlu melaporkan diri di balai polis, penggantungan lesen memandu dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam mewakili Mandave Singh, Farah Naz Kumar memohon ikat jamin dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja.

Majistret Nor Izzati kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin selain mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan, menyerah pasport kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai. 

Mahkamah menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Isnin lalu, seorang pekerja kilang dilaporkan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh MPV dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk di Jalan Sungai Lembing.

Insiden tragis jam 1.10 pagi itu mengakibatkan Muhammad Akmal Hakim meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah bandar raya Kuantan ke Kampung Padang sebelum motosikal ditunggangi mangsa dirempuh MPV Toyota Avanza dari arah belakang menyebabkan mangsa terjatuh di tengah jalan.