KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak semua pihak terutama golongan muda untuk memulihkan kerosakan alam dan perubahan iklim.
Bagi merealisasikan matlamat itu, baginda mahu supaya perancangan jangka panjang disusun di setiap peringkat bermula akar umbi.
Menerusi kenyataan media sempena sambutan Hari Bumi 2022 hari ini, baginda bertitah, semua pihak perlu melakukan perubahan bersifat transformasi bukan sahaja dari segi minda, malah dalam setiap aspek kehidupan bagi memastikan bumi dapat dilestarikan sebaik-baiknya.
“Saya melihat sendiri banjir besar melanda negeri saya Pahang pada Disember 2021 dan Januari 2022 dengan anggaran kematian serta kehilangan harta benda yang amat mendukacitakan.
“Lebih 125,000 penduduk terpaksa dipindahkan dengan 54 kematian, antara angka kernatian akibat banjir paling ramai di negara setakat ini dengan kerugian lebih RM20 billion dianggarkan di seluruh negara,” titah baginda.
Berkenaan kehilangan sumber kepelbagaian biodiversiti, perubahan iklim dan ketandusan tanah, baginda bertitah, semua pihak perlu bertindak segera pada setiap peringkat.
“Tidak cukup hanya menjadi pemerhati. Setiap kita perlu memikul tanggungjawab bersama,” titahnya.
Selain itu, baginda bertitah, pandemik COVID-19 disebabkan virus daripada ekosistem semula jadi yang masuk ke ekosistem baharu sehingga menjangkiti tubuh manusia adalah satu iktibar penting akibat alam semula jadi yang diterokai sewenang-wenangnya.
“Pemulihan sosioekonomi COVID-19 tidak akan lengkap jika kita masih gagal meletakkan keutamaan pada kesihatan planet (bumi).
“Setiausaha Agung PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), Antonio Guterres, baru-baru ini menegaskan bahawa harapan dunia terletak pada bahu orang muda.
“Ayuh, anak-anak muda sekalian, marilah kita bersama-sama menggalas tanggungjawab dengan bertindak segera. Kita boleh memacu perubahan secara kolektif dan mengawal masa depan kita sendiri.
“Pihak kerajaan, institusi perniagaan dan kewangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan setiap rakyat Malaysia juga perlu tampil untuk memulihkan kerosakan alam semula jadi dan perubahan iklim,” titahnya. – HELMY ABD RAHMAN