Pemangku Raja Pahang ajak rakyat hayati Hari Alam Sekitar Sedunia PBB

Pemangku Raja Pahang ajak rakyat hayati Hari Alam Sekitar Sedunia PBB

KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak semua agensi awam dan swasta di negara ini peserta aktif dalam rundingan iklim dan biodiversiti di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Baginda turut bertitah supaya pihak terbabit menyokong inisiatif utama berkaitan alam sekitar antaranya cadangan melindungi dan memelihara sekurang-kurangnya 30 peratus daratan dan lautan menjelang 2030. 

“Hari ini membawa pengertian besar kerana sambutan ulang tahun ke-50 Hari Alam Sekitar Sedunia PBB yang dikhususkan sejak 1972. Sehuhungan itu, saya ingin menyeru seluruh warga Malaysia untuk turut serta melestarikan alam sekitar.

“Ketika ini, lebih sejuta spesies haiwan dan tumbuhan sedang mengalami ancaman kepupusan. Sehubungan itu, satu pelan berwawasan besar, iaitu Global Biodiversity Framework Pasca 2020 sedang dirunding dalam Convention on Biological Diversity untuk diluluskan pada COP15. 

“Teras pelan itu ialah cadangan berasaskan kajian sains bagi memperuntukkan 30 peratus keluasan tanah dan perairan dunia sebagai kawasan perlindungan dan pemuliharaan. 

“Malaysia perlu turut serta bagi menjayakan sasaran unggul ini seterusnya menyerlahkan kebersamaan dengan seluruh warga dunia menangani isu ini, apatah lagi negara kita adalah satu daripada 17 negara megadiversiti dunia yang diiktiraf kerana kaya dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna. 

“Kita perlu berusaha untuk memastikan kawasan daratan dan perairan yang boleh diwartakan bagi tujuan perlindungan dan pemuliharaan untuk mencapai sasaran global penting berkenaan,” titahnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Baginda bertitah, walaupun kesedaran dan keprihatinan alam sekitar semakin meningkat di seluruh dunia sejak lima dekad lalu, namun pelbagai kegiatan manusia telah memusnahkan jaringan kehidupan yang kita perlukan untuk bekalan makanan, air, udara bersih dan yang berkaitan. 

“Kita perlu menterjemahkan aspirasi menjadi realiti. Apabila laporan kemusnahan Tasik Chini dibangkitkan tahun lalu, saya turun padang melawat lokasi dan menyaksikan sendiri keadaan yang berlaku. 

“Lantas, saya menitahkan Hutan Simpan Chini diperluas untuk meningkatkan perlindungan kepada tumbuhan dan haiwan sefta memastikan kehidupan Orang Asli di sekitar tasik tidak terus terancam. 

“Alhamdulillah, Kerajaan Pahang selesai mewartakan tambahan kawasan Hutan Simpan Chini pada 5 Ogos 2021, daripada dahulunya 4,600 hektar kepada kini 6,502.8 hektar. 

“Peluasan Hutan Simpan Chini secara langsung dapat melindungi flora dan fauna di Tasik Chini serta kawasan di sekitarnya. Tasik Chini ialah permata alam di Pahang dan merupakan tapak Rizab Biosfera UNESCO (Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik PPBB) pertama di Malaysia dan keunikannya yang bernilai tinggi dan bertaraf dunia perlu dipelihara dan dipulihara,” titah baginda.

Titah baginda lagi, dua acara utama berkaitan alam sekitar akan berlangsung pada tahun ini iaitu Mesyuarat Tahunan ke-27 Conference of Pafties on Climate Change (COP27) di Mesir dan Mesyuarat Dwitahunan UN Biodiversity Treaty (COP15) di China dan sebagai negara anggota, Malaysia harus membabitkan diri secara aktif dengan menyeftai dialog antarabangsa.

“Dengan bangganya, kita perlu menyokong kebanyakan komitmen yang dipersetujui tetapi perlu juga bersifat realistik. Sebagai contoh, Malaysia perlu mencapai sasaran sifar karbon menjelang 2050. 

“Aspirasi ini penting dan terpuji, namun pada masa sama, kita perlu menyedari bahawa langkah memansuhkan subsidi bahan api fosil akan memberikan impak besar kepada warga Malaysia.

“Pengurangan penggunaan tenaga sedikit sebanyak akan melumpuhkan dan menjejaskan ekonomi negara. Maka, kita perlu mendidik masyarakat tentang penjimatan tenaga dengan pelbagai cara sepefti mengurangkan penggunaan pendingin hawa atau menggunakan tenaga dengan lebih efisien,” titah baginda.

Baginda juga bersyukur kerana kebanyakan negara termasuk Malaysia sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membangunkan pelan bagi mengurangkan kemusnahan biodiversiti. – HELMY ABD RAHMAN