PEKAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik Penaung Diraja Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Pelantikan itu seiring dengan hasrat universiti dalam memperkasa agenda kesukarelawanan di universiti berkenaan.
Warkah pelantikan disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dalam Program Kayuhan Lestari UMP: Inisiatif Penghijauan Kampus anjuran Yayasan UMP, di sini, hari ini.
Turut sama, Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP.
Dr Abdul Aziz berkata, UMP komited menjalankan aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan warga UMP di pelbagai peringkat bagi merapatkan jurang antara masyarakat dan komuniti universiti sebagai satu proses memasyarakatkan universiti.
“Ia selaras dengan hasrat universiti untuk memasyarakatkan kewujudannya sebagai sebuah Universiti Awam (UA) agar kewujudannya dirasai, kehadirannya dapat dilihat dan suaranya didengari masyarakat.
“UMP kini giat melaksanakan program kesukarelawanan yang bertunjangkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang menjadi agenda global.
“Ia seiring dengan 17 matlamat yang perlu dicapai seperti yang diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk semua negara menjelang 2030,” katanya.
Pada program itu juga, baginda melawat Rimba Lestari yang menempatkan Haif khas, koloni Kelulut ECOSY-Hive iaitu perumah koloni kelulut.
Baginda kemudian berkenan menyempurnakan penanaman pokok kebangsaan Malaysia iaitu merbau di Rimba Lestari.
Bersempena sambutan ulang tahun ke-20 UMP, program itu juga menyaksikan penyerahan plat kenderaan khas `UC 2′ kepada baginda. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN