KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kerajaan negeri menyediakan peruntukan sewajarnya kepada golongan belia di Pahang.
Baginda bertitah bahawa peruntukan itu bagi membolehkan belia dapat terus aktif mengadakan pelbagai program dan aktiviti.
Pada masa sama, baginda meminta belia perlu sentiasa positif untuk menjadi warga yang berjasa.
“Jangan ditanya apa sumbangan negara kepada kita, tapi tanyalah diri apa yang boleh kita berikan untuk negara dan negeri yang kita sayangi ini,” titah baginda pada majlis sambutan Hari Belia Negara 2021 peringkat Pahang, di sini, malam tadi.
Turut hadir, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Izzat Afifi Abdul Hamid.
Turut diadakan ialah Majlis Permasyhuran Penaung Diraja dan pelancaran logo 50 Tahun MBNP. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN