Pemangku Raja Pahang mahu kerajaan negeri lebih agresif pulihkan Tasik Chini

Pemangku Raja Pahang mahu kerajaan negeri lebih agresif pulihkan Tasik Chini

PEKAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu Kerajaan Pahang bertindak lebih agresif bagi memastikan Tasik Chini dapat dipulih dan dihijaukan kembali.

Baginda bertitah, ia bagi membolehkan kegemilangan tasik berkenaan dikembalikan dan pada masa sama peranan asalnya untuk memberi manfat kepada penduduk sekitar selain fungsi sebagai biosfera kekal lestari.

Sehubungan itu, baginda bertitah, mana-mana pajakan lombong yang tamat tempoh tidak lagi perlu disambung dan kawasan Tasik Chini perlu dihijaukan dalam masa terdekat.

“Usaha memulihkan Tasik Chini perlu dimainkan semua pihak, bukan hanya kerajaan saya (Kerajaan Pahang), malah pelombong dan pelesen sedia ada perlu memberikan komitmen serta turut sama menjayakannya,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Tengku Hassanal Ibrahim bertitah, pemuliharaan alam sekitar, flora, dan fauna, bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Sudah wujud pelbagai akta dan enakmen yang spesifik tentang perlindungan alam sekitar di negara serta di negeri ini, namun tanpa penguatkuasaan  tegas, segala usaha akan gagal, sia-sia dan tidak berkesan,” titahnya.

Justeru, baginda bertitah, setiap agensi dan badan penguatkuasaan berkaitan perlu memainkan peranan masing-masing secara serius.

“Rondaan dan pemantauan perlu dijalankan dengan lebih kerap dan teliti. Tiada istilah terlepas pandang terhadap penjenayah alam sekitar selepas ini.

“Semua pihak tanpa mengira darjat dan kedudukan perlu akur dan patuh kepada undang-undang, sama ada ahli kerabat, ahli yang berhormat, ahli politik, ketua jabatan, penjawat awam mahupun rakyat,” titahnya. – HELMY ABD RAHMAN