Pemangku Raja Pahang masyhur Masjid Al-Mustaghfirin, Batu 3 1⁄2 Kuantan

Pemangku Raja Pahang masyhur Masjid Al-Mustaghfirin, Batu 3 1⁄2 Kuantan

KUANTAN: Masjid Baharu Batu 3 1⁄2 yang sebelum ini dipanggil Masjid As-Salam, kini secara rasmi dikenali Masjid Al-Mustaghfirin.

Majlis perasmian dimasyhurkan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli berangkat ke masjid berkenaan.

Baginda juga sempat mengurniakan sumbangan dan bantuan kepada 100 asnaf selain menyampaikan 10 buah komputer riba sumbangan anak syarikat Tabung Haji (TH) kepada pelajar terdiri daripadaa golongan memerlukan.

Berangkat sama, YAM Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim dan YAM Tengku Arif Temengung Tengku Fahd Muazzam Shah.

Turut hadir, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Masjid Al-Mustaghfirin adalah masjid kedua dimasyhurkan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah daripada tujuh yang direncana untuk dirasmikan sepanjang Ramadan ini.

Masjid yang menelan kos pembinaan sebanyak RM2.7 juta itu, dibina pada 12 Februari 2017 dan mula digunakan pada 9 Jun 2019.   

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri bersyukur apabila dapat meneruskan rancangan untuk merasmikan beberapa masjid di negeri ini selepas tergendala dua tahun akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – HELMY ABD RAHMAN