Pemangku Raja Pahang meriahkan Pahang Hiking Day 2022

Pemangku Raja Pahang meriahkan Pahang Hiking Day 2022

KUANTAN: Kerajaan Pahang melalui Tourism Pahang akan menganjurkan program Pahang Hiking Day 2022, Ahad ini.

Program itu diadakan serentak di 12 destinasi terpilih di Pahang yang turut mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan negeri.

Menerusi hantaran Facebook Tourism Pahang, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka mencemar duli berangkat untuk menyertai pendakian Bukit Buluh (The Red Forest), Jerantut.

Destinasi lain ialah Taman Eko-Rimba Parit Fall di Cameron Highlands, Bukit Peninjau (Lipis), Bukit Kolam (Raub), Bukit Do (Bentong), Bukit Woh (Temerloh) dan Bukit Kertau (Maran).

Selain itu, aktiviti itu turut diadakan di Bukit Senorang di Bera, Bukit Pelindung (Kuantan). Bukit Tanjung Batu (Pekan), Bukit Ridan (Muadzam Shah) dan Gunung Nenek Semukut (Pulau Tioman).

Rakyat Pahang yang tidak dapat bersama boleh menyaksikan secara langsung program Pahang Hiking Day 2022 di Facebook Tourism Pahang pada 8.30 pagi, Ahad ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN