Pemangku Raja Pahang rasmi bangunan MUIP di Mesir

Pemangku Raja Pahang rasmi bangunan MUIP di Mesir

KAHERAH: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan merasmikan bangunan baharu Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Kaherah, Mesir, hari ini. 

Baginda yang juga Yang Dipertua MUIP, merasmikan bangunan itu dalam satu majlis di Princess Palace Hall, Haiyyu Sabie’, Mesir pada jam 6.30 petang waktu tempatan. 

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia ke Mesir, YBhg Encik Zamani Ismail dan Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman. 

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Hussain; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman dan beberapa pegawai kanan MUIP turut hadir dalam majlis itu selain anak Pahang yang sedang menuntut di Mesir. 

Bangunan milik penuh MUIP itu dinamakan Dar Al Makmur dan mula beroperasi pada 2019, mampu memuatkan 160 pelajar pada satu-satu masa. 

Berkonsepkan apartmen, bangunan berkenaan mempunyai 11 tingkat dan memiliki pelbagai fasiliti seperti surau, restoran, pejabat, bilik asrama, dewan seminar dan banyak lagi.- KHALEEF FITRI