Pemangku Raja Pahang santuni bekas penagih dadah

Pemangku Raja Pahang santuni bekas penagih dadah

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang.gmail.com

KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menziarahi Pusat Pertubuhan Komuniti Intervensi Dadah Malaysia atau Drug Intervention Community (DiC) di Casa Paliativo, Batu 5 dan Casa Villa, Sungai Soi, di sini. 

Menerusi Facebook rasmi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), pada sesi ziarah itu, Baginda berkenan mengurniakan sumbangan dan beramah mesra bersama komuniti berkenaan serta menzahirkan motivasi kepada mereka agar terus kuat dan semangat dalam menempuh kehidupan.

Pada masa sama, Baginda yang juga Yang Dipertua MUIP turut melihat hasil perusahaan komuniti itu daripada pelbagai bidang seperti penternakan ayam belanda dan lebah kelulut, pertukangan dan pertanian fertigasi.

Melihat kesungguhan dan keazaman yang positif komuniti itu, Baginda berkenan menjadi Penaung Diraja bagi pertubuhan berkenaan.

Objektif utama penubuhan Casa Villa dan Casa Paliativo adalah untuk meningkat dan mengekalkan tahap pemulihan dan kehidupan yang positif bagi bekas penagih dadah terutama mereka yang menghidap penyakit HIV.