Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima mengadap Maryam Muzamir, 11, yang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dalam bidang inovasi di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Istana Pahang, Baginda menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada murid Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan itu yang mendapat tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada (iCAN ) 2021 ke-6 di Toronto, Kanada.
Baginda amat berbangga apabila kanak-kanak cilik dari Pahang itu berjaya menewaskan lebih 600 peserta dari lebih 70 buah negara.
Paling membanggakan, Maryam adalah peserta termuda yang menyertai pertandingan berkenaan.
Maryam yang bercita-cita menjadi saintis berjaya menarik perhatian dunia apabila mencipta makanan ternakan daripada kerang dan sisa makanan laut.
Anugerah diperoleh Maryam membanggakan seluruh rakyat Pahang dan Malaysia amnya kerana iCAN 2021 ialah pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara.