KUALA KRAU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memansuhkan syarat pindah milik tanah daripada kerajaan negeri ke Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) bagi tujuan pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di mana-mana negeri.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata langkah itu membolehkan proses pembinaan PPR dijalankan secara lebih mudah dan cepat.
“Baru-baru ini saya berjaya mendapat kelulusan dalam mesyuarat kabinet yang mana tidak perlu lagi dipindah milik tanah kerajaan negeri kepada PTP dan ini akan mempercepatkan pembinaan PPR.
“Sebelum ini, mungkin ada kerajaan negeri yang memberikan lokasi kurang strategik dan membayar premium kerana projek PPR bukanlah seperti balai polis atau hospital yang nak dijadikan aset (kerajaan) persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau di sini, hari ini.
Balai bomba yang dirasmikan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail itu turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; ADUN Lanchang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, KPKT akan membina 500 unit PPR di Jenderak di sini menerusi pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Kelulusan pelaksanaan projek PPR ini lebih memudahkan dengan kerjasama erat kerajaan-kerajaan negeri yang meluluskan kawasan tapak rumah.
“Spesifikasi rumah berkeluasan 750 kaki persegi lebih selesa dan lokasi berdaya huni tahap tinggi dengan kemudahan infrastruktur yang lebih baik termasuk capaian Internet yang laju,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN