Pemburu haram baham tanah

Pemburu haram baham tanah

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menahan dua lelaki bersama senapang buatan sendiri dipercayai digunakan untuk memburu di Sungai Berakit dalam Hutan Simpan Berkelah, di sini, semalam.

KUANTAN. Perhilitan merampas daging yang disyaki daging pelanduk daripada dua individu di Rumah Pekerja Ladang Alur Seri, Maran. Gambar Ihsan Perhilitan

Selain itu, kenderaan pacuan empat roda, 10 peluru pistol, 12 peluru penabur pelbagai jenis, empat burung serindit, tali pinggang peluru dan telefon bimbit turut disita bersama dua lelaki tempatan berusia 43 dan 53 tahun itu.

Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md Yasin berkata soal siasat ke atas dua lelaki terbabit oleh pasukan penguat kuasa membawa ke sebuah rumah beralamat C10, Rumah Pekerja Ladang Alur Seri, Maran.

Katanya, hasil pemeriksaan dirumah pekerja berkenaan menemui sebungkus daging disyaki pelanduk, enam burung dipercayai serindit dan sebahagian anggota disyaki landak di samping lapan utas disyaki jerat dawai dan beruk. 

Katanya, semua penemuan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran bagi tujuan siasatan.

“Tiga anggota Unit Kuatkuasa PERHILITAN Pahang dibantu lapan kakitangan Maran dan Temerloh melakukan intipan sebelum melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan empat roda.

“Dua lelaki yang ditahan, masing-masing beralamat di Felda Kampung Awah dan Felda Seroja, Jengka 18,” katanya dihubungi, di sini, hari ini.

KUANTAN. Perhilitan merampas burung yang disyaki burung serindik daripada dua individu di Rumah Pekerja Ladang Alur Seri, Maran. Gambar Ihsan Perhilitan

Beliau berkata, mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 individu terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) menyimpan hidupan liar dilindungi denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan dua individu yang ditahan itu sudah biasa dengan kawasan hutan terbabit, mereka memiliki kemahiran melakukan aktiviti memburu.

Menurutnya, beberapa kawasan hutan simpan di negeri ini termasuk Hutan Simpan Berkelah dikenal pasti menjadi lokasi pemburu haram dan kegiatan itu didalangi beberapa individu tempatan.