Pemeriksaan awal dapat kesan batuk kering

Pemeriksaan awal dapat kesan batuk kering

KUANTAN: Kira-kira seratus peserta terbabit dalam Sambutan Hari Tibi Sedunia 2022 peringkat daerah ini di Klinik Kesihatan Balok, semalam.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program berkenaan antaranya pameran, kuiz, ceramah berkaitan penyakit batuk kering atau tibi dan gotong-royong membuat bubur lambuk yang turut disertai penduduk setempat.

Program dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu yang menasihat masyarakat supaya lebih peka dengan penyakit batuk kering dan tidak memandang mudah terhadap penyakit berkenaan.

Menurutnya, program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan itu penting dalam usaha memberi penerangan berkaitan penyakit itu yang boleh membawa kepada komplikasi yang teruk dan menyebabkan kematian.

“Saya difahamkan pesakit tibi yang menjalani rawatan intensif di hospital kerajaan dalam enam bulan boleh sembuh. Saya berharap individu ada tanda tibi seperti batuk berterusan dua minggu, tiada selera makan dan berat badan menurun secara mendadak perlu segera mendapatkan pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia 2022 peringkat daerah ini di Klinik Kesihatan Balok, semalam.

Hadir sama pegawai menanggung tugas Pegawai Kesihatan Daerah Kuantan, Dr Roslaili Khairudin.