sumber: UMNO Online
KUALA LUMPUR, 15 Feb – Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berpandangan Pemilihan 2023 membuktikan UMNO sebagai sebuah parti demokratik.
Katanya, jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan juga adalah suara demokratik yang dibawa oleh akar umbi dalam menjaga perpaduan dalam kalangan ahli parti.
“Dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan ada orang kata tidak demokratik namun pada saya itu adalah pilihan akar umbi iaitu keputusan para perwakilan UMNO yang mewakili bahagian masing-masing
“Jadi tidak perlu dipertikaikan kerana kita melihat sendiri dengan mata bahawa tidak ada paksaan kerana lebih 90 peratus daripada perwakilan bersetuju bahawa dua jawatan tersebut tidak dipertandingkan kali ini bukan kerana kita tidak demokratik tetapi kerana tidak mahu berlaku perpecahan yang besar dalam parti,” katanya.
Beliau yang turut menawarkan diri sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan mempertahankan jawatannya di bahagian berkata pemilihan pada kali ini perlu diambil sebagai simbolik kepada semangat menjaga perpaduan parti.
“Jadi saya kira pemilihan kali ini memberi ruang kita jalankan sebaik-baiknya dengan semangat penuh kekeluargaan. Saya bertanding mestilah untuk membantu kepimpinan dan parti bagi mengukuhkan UMNO kerana kita dalam keadaan yang tercari-cari identiti baharu bagaimana hendak mengembalikan UMNO.
“…dan saya bukan hanya memiliki kesungguhan tetapi sanggup berkorban jiwa raga saya untuk memastikan UMNO ini kembali diterima.
“Ada banyak idea pandangan daripada rakyat khususnya dan kita tidak boleh menjadi parti yang eksklusif tetapi menjadi milik rakyat,” ujar beliau.
Terdahulu pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 telah dibuka bermula 12 sehingga 26 Februari 2023 di Auditorium Menara Dato’ Onn di sini bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.
Sementara itu bagi pemilihan jawatan di peringkat ahli jawatankuasa bahagian, Wanita, Pemuda dab Puteri bahagian, pendaftaran juga telah dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO Negeri. – UMNO Online