Pemimpin BN-PH iringi calon BN Pelangai

BENTONG 23 September 2023. (Fikrah Pahang) Lebih 1,000 penyokong Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) mengiringi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Dato’ Amizar Abu Adam ke Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, pelangai, Bentong.

Turut mengiringi, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari serta YAB Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dan beberapa pimpinan-pimpinan BN dan PH.

Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Dato’ Mohammad Shahid Ismail ketika membuat pengumuman memaklumkan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Mereka terdiri dari Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari BN, Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kereta.

PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Dato’ Sri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, bulan lalu.

DUN Pelangai mempunyai seramai 16,456 pengundi berdaftar dan hampir 75 peratus adalah pengundi Melayu manakala pengundi Cina mewakili 20 peratus, India dan Orang Asli 10 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober hari pengundian manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal.

Oleh : Kabhi Ismail