KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera mengambil tindakan terhadap semua petisyen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mengenai salah laku sogokan wang termasuk video yang membuktikan amalan merasuah pengundi dengan menggunakan nama Allah.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Pemuda UMNO turut mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mula mengambil tindakan menangkap suspek dalam kes penyelewengan RM92.5 bilion pakej rangsangan yang diluluskan dalam tempoh darurat.
“Dengar khabarnya lebih ramai lagi yang akan ditahan dan diambil tindakan. Ini mengesahkan lagi kesangsian kita selama ini bahawa kemungkinan berbilion-bilion duit rakyat disakau melalui projek rundingan terus yang diluluskan dalam tempoh Darurat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu.
“Barangkali sebab itu jugalah ada parti yang selama ini bersandiwara dengan mengutip syiling untuk memasang bendera, kini boleh berkempen dengan berbelanja mewah sehingga ratusan ringgit dibayar kepada pengundi luar dan mahasiswa.
“Mungkin sebab itu jugalah ada parti yang baru setahun jagung ditubuh, tiba-tiba begitu mewah dalam berkempen sehingga mampu berbelanja jutaan ringgit bagi menyogok pengundi muda dan pengundi kali pertama. Namun, jangan sesekali lupa akan aturan Allah SWT. Menang banyak pun belum tentu boleh menjadi kerajaan. Percayalah kepada prinsip,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Justeru, katanya,Pemuda UMNO menggesa SPRM dan Peguam Negara terus memburu dan segera mendakwa mereka yang disyaki terbabit dalam rasuah dan penyelewengan berbilion ringgit wang rakyat di sebalik slogan ‘Bersih dan Stabil’ yang dicanang-canangkan.
Beliau juga menyarankan supaya semua pemimpin UMNO yang tdibebaskan mahkamah bersepakat menyaman Tommy Thomas yang terbukti berniat jahat hanya untuk memalukan dan merosakkan reputasi UMNO dengan pendakwaan politik terpilih.
“Pemuda UMNO mahu kerajaan (Pusat) segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi mengambil tindakan keras atas segala pendedahan Tommy Thomas yang jelas menzahirkan wujud pendakwaan terpilih malah campur tangan politik dalam badan kehakiman negara,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN