Pemuda UMNO Pahang gembira dengan ucapan sulung PM

Pemuda UMNO Pahang gembira dengan ucapan sulung PM

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang ternyata gembira dan menyokong penuh kepada intipati ucapan sulung Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, bertemakan ‘Keluarga Malaysia’, kelmarin.

Dalam kenyataan media semalam, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang juga meyakini Ismail Sabri amat memahami dan mengetahui aspirasi serta kemampuan anak muda di negara ini, lebih-lebih lagi beliau pernah menjawat tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Sudah tentu pelawaan kepada anak muda untuk sama-sama berkerja bersama beliau bagi memulih dan membangunkan negara ini, satu hasrat yang disambut baik dan penuh kesyukuran oleh kami.

“Pemuda UMNO Negeri Pahang percaya pelawaan YAB Perdana Menteri akan bersifat holistik, di mana suara anak muda akan didengar dan diambil kira di setiap peringkat, daripada yang terbawah sehingga ke peringkat tertinggi pentadbiran kerajaan,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, keprihatinan Perdana Menteri terhadap suara dan komitmen anak muda juga dituntut dan amat kritikal terutama ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

“Anak muda adalah kelompok paling terkesan dan susah, maka sudah pastilah keprihatinan Perdana Menteri ini memberi kelegaan kepada kami, sekali gus membuktikan betapa pihak kerajaan begitu peduli soal hala tuju dan masa depan golongan muda,” petik kenyataan itu.