Pemuda UMNO tuntut pengeluaran i-Citra

Pemuda UMNO tuntut pengeluaran i-Citra

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO komited menjadi juru bicara rakyat bagi menuntut pengeluaran minimum i-Citra sebanyak RM10,000 secara ‘one-off’.

Ketuanya, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sehubungan itu, beliau sedang berusaha mendapatkan slot temu janji dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Dato’ Sri Amir Hamzah Azizan, minggu ini.

Katanya, Pemuda UMNO tidak akan berhenti malah terus menjadi lidah penyambung dan jurubicara rakyat bagi mangangkat isu-isu menyentuh kepentingan semua, kepada pihak Kerajaan.

“Ramai yang mesej peribadi mengharapkan Pemuda UMNO terus bersuara dalam isu-isu menyentuh #TuntutanRAKYAT. 

“Minggu ini (saya) sedang berusaha dapatkan slot temu janji untuk bertemu dengan CEO KWSP,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Menurutnya, beliau sudah membentangkan mengenai tuntutan rakyat kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Ogos lalu.

“Sejak itu, saya sendiri ‘follow-up’ dengan Pejabat Perdana Menteri bagi memastikan beberapa isu mendesak seperti BKC (Bantuan Khas COVID-19) dapat segera dikreditkan ke akaun penerima,” katanya.

“Pemuda UMNO juga akan terus ‘follow-up’ dengan pihak Menteri Kewangan Tengku Zafrul agar isu-isu lain berkaitan moratorium tanpa faedah terakru, moratorium LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam), pangkalan data LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), birokrasi dalam rayuan dan perkara-perkara lain dalam #TuntutanRAKYAT dapat dipenuhi oleh Kerajaan,” katanya.