Oleh Helmy Abd Rahman dan Izzah Yussof
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustaffa Kamal
PEKAN: Penantian 14 tahun dua beradik untuk memiliki suratan hak milik di Rancangan Tanah Kelompok (RTK) yang mereka sertai berakhir apabila menerimanya daripada ‘tangan’ Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail, hari ini.
Noriah Mat Resat, 57, dan abangnya Shaarif Mat Resat, 69, kedua-duanya dari RTK Kampung Serambi, dekat sini, ternyata bersyukur dan gembira apabila menjadi antara 470 penerima hari ini.
“Makcik berasa syukur sangat bila dapat suratan hak milik hari ini. Akhirnya, penantian selama 14 tahun berakhir.
“Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan negeri terutama kepada MB (Menteri Besar) yang merealisasikan penyerahan ini,” kata Noriah ketika ditemui Fikrah Pahang selepas Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik RTK Serambi, Padang Rumbia dan Pulau Rumput di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 470 daripada 643 peserta FELCRA menerima suratan hak milik mereka dan bakinya akan menerima suratan hak milik masing-masing secara berperingkat.
Mereka terdiri daripada peserta dari RTK Serambi, Padang Rumbia dan Pulau Rumput manakala baki peserta yang lain akan menerima suratan hak milik pada 10 April ini yang dijadualkan disampaikan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Razak.
Majlis yang disempurnakan Wan Rosdy itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengurus Besar FELCRA Bhd Wilayah Pahang, Nor Zahari Zakaria.