PUTRAJAYA: Seramai 945 calon disahkan bakal berentap untuk mengisi 222 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Jumlah itu sekali gus mencatatkan sejarah apabila ia membabitkan jumlah pencalonan calon kerusi Parlimen paling ramai dalam PRU di negara ini.
Paparan papan pemuka (dashboard) di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan Pakatan Harapan (PH) meletakkan paling ramai calon bagi kerusi Parlimen iaitu seramai 206 orang, diikuti Barisan Nasional (178 calon), Perikatan Nasional (149 calon) dan PEJUANG (116 calon).
Turut mempertaruhkan calon bagi kerusi Parlimen, Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan 52 calon, Gabungan Parti Sarawak (31), PAS (22), Parti Rakyat Malaysia (16), Gabungan Rakyat Sabah (13), Parti Sarawak Bersatu (10), Putra (sembilan), DAP (lapan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tujuh), MUDA (enam), Parti Bangsa Malaysia (lima) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (tiga).
Seramai 434 lagi akan bertanding bagi merebut 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, Perak, Perlis dan kerusi N66 Bugaya, Sabah. – HELMY ABD RAHMAN
Ends/tony